

SELAMAT DATANG KE
BATALION KE-12 RAMD MEKANIZE
"TANGKAS GEMPUR"

Last update 09:00am 05/09/17


Sejarah Penubuhan
12 RAMD Mekanize telah ditubuhkan pada 14 Mei 1969 di Kem Remillies, Ipoh, Perak dengan kekuatan asalnya seramai 12 Pegawai Tetap, 12 Pegawai Kerahan, seorang Kompeni Sarjan Mejar dan 610 anggota kerahan. Kuasa penubuhan pasukan ini ialah FED/(M)/300/6/72. Penubuhan pasukan ini adalah berlanjutan dari berlakunya Tragedi 13 Mei 1969 yang telah mencatatkan sejarah hitam negara.
Penubuhan pasukan ini juga adalah atas perkenan KDYMM Sutan Abu Bakar Riayatuddin Al Muadzam Shah iaitu Sultan Pahang selaku Yang DiPertua Rejimen Askar Melayu DiRaja pada ketika itu yang telah mengisytiharkan penubuhan 12 RAMD menggantikan 13 Batalion Infantri Askar Wataniah pada bulan Jun 1969. Dengan pengisytiharan tersebut, 12 RAMD secara langsung telah bertaraf operasional. Anggota-anggota pula telah diserapkan sebagai anggota tetap di dalam Angkatan Tentera Malaysia dan bukan lagi sebagai anggota kerahan.
Pegawai Memerintah yang pertama ialah Leftenan Kolonel Raja Aman Shah bin Raja Shahar Shah bermula pada 15 Mei 1969 sehingga 18 Oktober 1970 dan RSM yang pertama ialah 5225 PW I Ahmad bin Lebai Kari bermula dari 01 Jun 1969 hingga 15 September 1971. Selaras dengan permodenan dan peningkatan keupayaan pasukan-pasukan infantri, 12 RAMD telah dipilih sebagai salah sebuah Batalion Infantri Mekanize.
Pemilihan ini merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan kepada keupayaan pasukan. Sehubungan dengan itu, beberapa peralatan dan persenjataan sebagai sebuah pasukan Mekanize telah dimasukkan ke dalam inventori pasukan. Sebagai permulaan transformasi sebagai sebuah Batalion Infantri Mekanise, 2 buah kenderaan berperisai iaitu Malaysian Infantry Fighthing Vehicle (MIFV K200)yang dinamakan LIPAN BARA telah diterima pada 24 Disember 1997.
Penerimaan secara rasmi telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Panglima 4 Bgd Mekanize ketika itu iaitu Brigedier Jeneral Dato’ Tengku Ariffin bin Tengku Muhamed pada 02 Januari 1998 di Komplek Kenderaan Jenis ‘B’ pasukan. Bermula dari tarikh tersebut, peranan dan tugas 12 RAMD telah berubah dari sebuah Batalion Infantri Standard kepada sebuah Batalion Infantri Mekanize.


Panji-panji Pasukan
Setelah berkhidmat lebih 11 tahun, pasukan telah dianugerahkan dengan panji-panjinya sendiri. Penganugerahan panji-panji batalion kepada pasukan telah dilaksanakan pada 22 April 1980. Penganugerahan panji-panji batalion telah diperkenankan oleh Tuanku Sultan Kedah iaitu Duli Yang Maha Mulia Tuanku Haji Abdul Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badli Shah yang juga selaku Kolonel Yang DiPertua RAMD. Upacara bersejarah ini berlangsung di Padang Kawad Kem Sungai Ara, Pulau Pinang, yang mana panji-panji batalion telah diterima oleh Lt M Abdul Aziz bin Abdul Wahab bagi pihak pasukan.



Proses penyesuaian peranan telah disusun dari masa ke masa di mana pasukan pada ketika itu giat menjalani proses melatih anggota dan mengemaskini keperluan infrastruktur sebagai persediaan untuk menerima lebih banyak kenderaan MIFV K 200 dan seterusnya berupaya untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai sebuah Batalion Mekanize.
Sekali lagi, dalam transformasi Tentera Darat, inventori Kenderaan A pasukan telah dimantapkan lagi dengan perolehan Kenderaan Penggempur Adnan 300 (KP Adnan) menggantikan MIFV K200 pada tahun 2003. Buat permulaan pasukan telah menerima sebanyak 38 buah KP Adnan iaitu sebanyak 3 AVR, 7 IFV 40mm dan 28 buah IFV 12.7mm. Hingga kini, Kenderaan A pasukan telah dilengkapi dengan jumlah yang maksimum bagi sebuah Batalion Infantri Mekanis.